Kunjungan Dato’ TMB ke Pasir Puteh

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pelayar blog ini,

Dah banyak hari saya tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini. Mungkin kerana saya masih kekok dengan dunia blog, menyebabkan agak terbantut idea untuk menulis walau pun dalam minda agak banyak yang boleh saya turunkan di laman ini.

Namun begitu, Alhamdulillah program-program dalam DUN Limbongan terus rancak berjalan yang membuktikan ke’CAKNO’an kita terhadap rakyat pelbagai peringkat.

Alhamdulilllah sykur yang tidak terhingga kerana Negeri Kelantan sentiasa mendapat limpahan rahmat daripada Allah SWT. Setelah beberapa lama musim kemarau, kini hujan sudah membasahi bumi Kelantan, sebaik sahaja Tok Guru mengura-urakan supaya rakyat keluar beramai-ramai untuk menunaikan Solat Istisqa’.

Khabarnya, hujan yang turun bukan setakat membasahi bumi Kelantan bahkan beberapa negeri lain juga turut mengalami hujan. Alhamdulillah itu semua rahmat daripada Allah SWT, sebagaimana bala yang turun turut akan menimpa semua sama ada yang berbuat maksiat atau tidak, begitu juga apabila rahmat Allah turun, semua dapat merasai sama. Itulah berkat doa tulus seorang ulamak.

Kunjungan Dato’ TMB

Pada Sabtu lepas (13 Mac), Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob datang ke Pasir Puteh untuk melancarkan Program Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Pasir Puteh. Alhamdulillah kerana sambutannya amat memberangsangkan ketika ramai di kalangan kita banyak menerima undangan ke tempat kenduri kendara.

Bagi pihak PAS Kasawan Pasir Puteh saya mengucapkan penghargaan kepada Dato’ TMB, lebih-lebih lagi apabila beliau mendahului masa yang sepatutnya beliau tiba. Inilah contoh sifat-sifat kepimpinan yang patut diteladani oleh pemimpin kita.

Saya berharap seluruh kepimpinan PAS khasnya di Pasir Puteh menghayati ucapan Dato’ TMB yang banyak menekankan aspek tarbiah yang menjadi tunjang kekuatan perjuangan ahli-ahli PAS yang menyebabkan mereka sentiasa istiqomah dalam perjuangan.

Saya berharap semua program yang diatur dan dibentangkan untuk dilaksanakan oleh Lajnah Tarbiah di bawah Ustaz Muhammad Hussin bagi tahun 2010 ini berjalan lancar dan mendapat penyertaan menggalakkan oleh semua ahli kita.

Wassalam.