Penghargaan buat Tok Guru

SEBAGAIMANA kita sedia maklum, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat agak keuzuran akhir-akhir ini. Namun di sebalik keuzurannya, beliau menggagahkan diri memenuhi undangan saya bagi melawat mangsa kebakaran di Kampung Wakaf Lanas pagi semalam.

Mangsanya tidak ramai, hanya dua buah rumah namun sifat keprihatinan Tok Guru amat saya kagumi. Sememangnya Tok Guru jarang menghampakan apabila saya menjemput beliau ke DUN Limbongan.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya sebenarnya ingin merakam setinggi penghargaan dan terima kasih kerana di samping datang melawat mangsa kebakaran, Tok Guru sempat melancarkan Portal Rasmi DUN Limbongan sebaik beliau tiba di kediaman saya pagi semalam.

Tok Guru sempat berbisik ringkas kepada saya, katanya: “Ambo tak leh pegang mouse ni, ambo akan jadi ralik (leka – melayari internet).” Itulah antara kelebihan Tok Guru. Beliau mampu melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat isu semasa.

Bagi pihak MTD Limbongan saya mengucapkan terima kasih kerana Tok Guru telah melancarkan portal DUN Limbongan secara rasmi. Portal ini boleh dilayari di www.limbongan.net.

Insya-Allah portal ini akan dikemaskini sekerap mungkin dengan maklumat-maklumat semasa yang berlaku dalam DUN Limbongan secara khusus ditambah beberapa berita isu semasa yang tentunya perlu diketahui oleh rakyat setelah media-media cetak utama dikongkong untuk kepentingan sebelah pihak parti pemerintah. (Maklumat lanjut pelancaran Portal Limbongan.net klik di sini)